Saya pernah mengkritis tulisan Dr. Azwira tentang wilayah
Najd sebelum ini. Tuslian saya itu berjaya
membongkar penipuan, kesalahan dan kelemahan yang ada. Sesiapa yang tidak
bersetuju dengan kenyataan ini bolehlah menyemak semula artikel Azwira dan
jawapan saya di SINI. Sesiapa yang
ingin mempertahankan tulisan Azwira itu, bolehlah berurusan dengan saya.
Baru-baru
ini seorang sahabat bernama PEACE menulis:
“Assalamualaikum
tuan alex..mohon harap dapat memberi penjelasan terhadap bab membaca Al-Quran
di kuburan kerana kurang arif terhadap apa yang ditulis di blog ini.syukran [URL]”
Wed Oct 15, 2008 7:25 am
Berikut
adalah artikel yang dimaksudkan (sebuah lagi nukilan Dr. Azwira) beserta
penjelasan saya. Artikel mengisahkan penolakan Azwira terhadap amalan membaca
Quran di kuburan.
DAKWAAN DR. AZWIRA:
Dalam sebuah risalah terbitan Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim), ajaran sesat didefinisikan sebagai apa jua ajaran atau
amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa
ajaran tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam,
sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan
Islam yang berdasarkan al-Quran dan sunah serta juga bertentangan dengan ajaran
Ahli Sunah Wal Jamaah. (Mustafa Ab. Rahman & rakan-rakan, Mengenal ajaran
sesat di Malaysia, Jakim, 2000, hal: 1).
Risalah yang sama juga ada menyebutkan bahawa
antara ciri-ciri ajaran sesat itu ialah ia tidak berdasarkan nas-nas syarak
sama ada al-Quran atau pun hadis tetapi berdasarkan kepada cerita rekaan,
dongeng, khayalan karut, kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan
Islam. (Ibid, hal: 10).
PENJELASAN ALEXANDERWATHERN:
Kita faham-faham sendirilah, tujuan Dr. Azwira
menulis muqaddimah dengan maklumat-maklumat di atas tidak lain ialah untuk
mengaitkan amalan membaca al-Quran di kuburan (bukan DI ATAS kubur) sebagaimana
yang dilakukan oleh umat Islam sebagai AJARAN SESAT. Maksudnya kita semua ini
mengamalkan ajaran sesat.
Di bawah nanti kita akan lihat bagaimana Azwira
berusaha membuktikan amalan membaca al-Quran di kuburan ini sebagai ‘bertentangan
dengan Islam yang berdasarkan al-Quran dan sunah serta juga bertentangan dengan
ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah’. Oleh itu ia adalah ajaran sesat.
Tuan-tuan,
SESATLAH IMAM SYAFIE menurut Azwira kerana Imam
Syafie menghukum sunat membaca ayat-ayat suci al-Quran di kuburan sebagaimana
yang tertera dalam kitab Majmuk Syarah Muhazzab juzuk 5 ms 311 cetakan Darul
Fikar yang berbunyi:
“DISUNATKAN bagi orang yang menziarahi kubur MEMBACA
APA-APA yang mudah DARIPADA AL-QURAN dan mendoakan untuk mereka (yang telah mati
itu) selepas bacaan (al Quran). Telah menaskan (disebut dengan jelas) oleh IMAM
SYAFIE padanya.”
Juga dalam Maarifatus Sunan oleh IMAM AL-BAIHAQI
juzuk 4 ms 191 cetakan Darul Kutub:
“Berkata IMAM SYAFIE: Dan AKU SUKA jikalau
dibacakan al-Quran di sisi kubur dan dioakan ke atas mayat.”
Sesat jugalah SYEIKH ZAKARIA ANSARI yang menyebut
dalam Syarah ar Raudh pada kitab al-Ijarah:
“Mengupah bacaan Quran di kuburan (maksudnya memang
boleh membaca al-Quran di kuburan) pada masa tertentu atau dengan kadar
(bayaran) yang maklum maka adalah HARUS.......”
Sesat jugalah SYEIKH IBNU QAYYIM dan Syeikh
az-Za’farani kerana dalam kitab Ruh cetakan Darul Kitab Ilmiah ms 17:
“AZ’ZA’FARANI berkata: Aku bertanya kepada IMAM
SYAFIE (gurunya tentang membaca al-Quran di kuburan dan dia (asy-Syafie)
berkata: TIADA MASALAH tentangnya.”
“Al-Khilal menyebut lagi: Adalah GOLONGAN ANSAR
(para sahabat) apabila ada kematian dalam kalangan mereka, mereka pergi ke
kubur yang kematian itu MEMBACA AL-QURAN di sisinya.”
(Kitab Ruh oleh Ibnu Qayyim cetakan kedua Haida
Abad ms 13)
Oleh itu, anda yang membaca tolong jawab soalan-soalan
ini dengan hati yang benar-benar ikhlas kerana Allah:
Benarkah Imam Syafie, Imam Baihaqi, Syeikh Zakaria
Ansari, Syeikh Ibnu Qayyim dan Syeikh Za’farani mengamalkan ataupun menyokong
ajaran sesat sebagaimana tuduhan Azwira?
JAWAPAN ANDA: .....................................
(Benar, mereka amal dan sokong ajaran sesat/ TIDAK
BENAR, itu adalah pendustaan Dr. Azwira)
DAKWAAN:
Tidak dinafikan lagi bahawa hadis-hadis palsu yang
digunakan dalam epistemologi Islam adalah termasuk dalam kategori cerita rekaan
dan dongeng. Tetapi, malangnya di negara kita Malaysia, fenomena penggunaan
hadis palsu dalam menghuraikan ajaran agama oleh segelintir individu yang tidak
bertanggungjawab masih berleluasa.
Antara contoh terkini yang disebarkan ialah
hadis-hadis berkenaan membaca al-Quran ketika ziarah kubur. Hadis itu
bermaksud, “Barang siapa berziarah ke kuburan kedua-dua oran tua atau salah
satu di antara mereka pada hari Jumaat dan membacakan surah Yasin, maka dia
akan diampuni dosanya dan dihitung sebagai kebaikan”.
Hadis ini dijadikan dalil untuk menjustifikasikan
amalan membaca al-Quran di kubur, kononnya amalan itu adalah suatu sunah yang
diamalkan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. Walhal, ia adalah sebuah hadis
palsu yang mana kepalsuannya telah ditegaskan oleh para ulama hadis seperti Ibn
Adiyy dalam Al-Kamil Fi Ducafa' Ar-Rijal (1985, 5:151), Az-Zahabi dalam Mizan Al-Ictidal
Fi Naqd ar-Rijal (T.th, 4: 181), As-Suyuti dalam Al-Lali’ Al-Masnu’ah Fi
Al-Ahadith Al-Maudu’ah (1401 H, 2: 440) dan At-Ta’qqubat ‘Ala Al-Maudu’at (1303
H, Hal: 23), Asy-Syaukani dalam Al-Fawaid Al-Majmu’ah Fi Al-Ahadith Al-Maudu’ah
(1407 H, Hal: 850), At-Tarabulusi dalam Al-Kasyf Al-Ilahi (1408 H, 1:937) dan
As-San’ani dalam An-Nawafih Al-‘Atirah Fi Al-Ahadith Al-Musytahirah (1414 H,
hal: 2167).
Satu lagi hadis palsu berkaitan membaca al-Quran di
kubur ialah yang bermaksud, “Barang siapa yang berziarah di kuburan, kemudian
dia membaca al Fatihah, Qul Huwallahu Ahad dan al-Hakumut Takasur, lalu ia
berdoa: “Ya Allah, kuhadiahkan pahala pembacaan firman-Mu pada kaum mukminin
penghuni kubur ini, maka mereka akan menjadi penolong baginya (pemberi syafaat)
pada hari kiamat”.
Saya telah cuba setakat terdaya menyemak sumber dan
status hadis ini sama ada dalam kitab-kitab yang mengumpul hadis sahih atau
yang mengumpul hadis daif dan palsu, tetapi gagal menemuinya. Ketiadaan hadis
berkenaan dalam kitab-kitab sumber hadis yang muktabar adalah suatu petanda
yang menunjukkan kepalsuannya. Satu perkara yang perlu dijelaskan di sini ialah
perbezaan antara hukum ziarah kubur sambil membaca zikir yang sabit daripada
Nabi s.a.w. dengan hukum membaca al-Quran di atas kubur. Tiada sesiapa pun yang
menghukum amalan ziarah kubur sambil memberi salam kepada penghuni kubur serta
berdoa dan beristighfar untuk mereka sebagai amalan bidaah. Kerana amalan
sedemikian memang disunahkan oleh Nabi s.a.w. melalui nas-nas yang sahih.
PENJELASAN:
Jika benarlah DUA hadis di atas palsu, apa
masalahnya? Bila masa pula kita berpegang hanya dengan DUA HADIS di atas dalam
masalah ini? Secara peribadi, saya tidak memerlukan dua hadis itu pun. Jadi,
tak payahlah kita bincangkan perkara yang sia-sia di sini.
Imam Syafie, Imam Baihaqi, Syeikh Zakaria Ansari,
Syeikh Ibnu Qayyim dan Syeikh Za’farani pun tidak berhujah dengan DUA HADIS
PALSU (sekiranya benar ia palsu) di atas tapi mereka tidak pula kata membaca
al-Quran di kuburan ajaran sesat.
Kita pun faham, sebenarnya Azwira menghidangkan dua
hadis palsu itu dengan harapan untuk menguasai minda pembaca agar akur bahawa
amalan itu tidak ada sumbernya di sisi agama Islam. Orang-orang yang jahil pun
akan berkata, “Tengok tu, mereka yang buat amalan ini bersandarkan kepada
hadis-hadis palsu saja! Ajaran sesat semua tu.”
bersambung ke bahagian terakhir...
|