Tidak kita nafikan, sesiapa yang banyak ilmu biasanya
bijak ataupun sekurang-kurangnya lebih bijak daripada orang-orang yang kurang
ilmu. Namun begitu, banyak juga manusia yang banyak ilmu tetapi kurang bijak. Dan
ada kalanya orang yang kurang ilmu lebih bijak pula membuat pertimbangan
berbanding orang yang kurang ilmu.
Ada seorang yang digelar maulana, dan boleh jadi memang
dia pun menggelar dirinya maulana. Orang ini dikatakan banyak ilmu dalam bidang
hadis. Jika benar begitu baguslah. Apa yang benar daripadanya tidak pernah kita
tolak dan apa yang salah daripadanya tidak pernah kita terima. Kan begitu?
Ada orang menghafaz banyak kandungan al-Quran tetapi
tidak berbakat menjadi pemimpin kerana
kurang bijak membuat keputusan. Ada orang yang tidak tinggi kelulusan agamanya
di atas kertas tetapi ceramahnya mendapat sambutan dan bermanfaat kepada umat.
Begitulah pekerjaan Tuhan.
Maulana ini ada saham dalam menyebarkan satu pembohongan
tentang masalah ‘Saidina Umar pernah membunuh anak perempuannya’. Sebelum kita
memanjangkan hal ini, mestilah difahami terlebih dahulu, bahagian manakah yang
sedang kita pertikaikan dan bahagian mana pula tidak.
Masyhurlah kisah Saidina Umar ra pada masa jahilliyahnya
pernah menanam seorang anak perempuannya. Ada pihak yang berusaha mensucikan
para sahabat dengan mencari hujah-hujah untuk membuktikan ketidakbenaran hal
ini. Salah satu daripada hujah-hujah itu ialah gelaran ‘Abu Hafsin’ yang
dinisbahkan kepada Saidina Umar. Pendustaan tentang gelaran in sajalah yang
kita pertikaikan kali ini, bukan selainnya.
Kononnya, Saidatina Hafsah ialah anak perempuan sulung
Saidina Umar dan dia tidak pula dibunuh oleh bapanya. Hal ini menunjukkan
Saidina Umar tidak pernah membunuh mana-mana anak perempuannya. Bahkan Saidina
Umar tidak berasa malu pun dengan Hafsah kerana menggunakan nama gelaran ‘Abu
Hafsin’ yang bermaksud ‘Bapa si Hafsah’.
Persoalannya, benarkah ‘Abu Hafsin’ itu bermaksud ‘Bapa kepada
Hafsah’?
Pertama, perkataan ‘Hafsah’ dengan ‘Hafsin’ tidak ada
kaitan dari segi bunyinya. Jika benar Saidina Umar mengambil nama anaknya,
tentulah dia dipanggil ‘Abu Hafsah’. Dari mana datangnya persamaan antara ‘Hafsah’
dengan ‘Hafsin’? Boleh nampak ketidakkenaannya? Bijakkah orang yang menyamakan
kedua-dua nama itu?
Kedua, 19 tahun lalu saya sempat belajar sedikit huraian
hadis dan mustalah hadis dengan seorang guru bernama Ustaz Mansoruddin selama
setahun setengah. Hadis pertama yang kami pelajari daripadanya ialah sebuah hadis
dari Saidina Umar bertajuk “Tanda-tanda Hari Kiamat”. Pada biodata Saidina Umar
ditulis dalam tulisan jawi begini:
“Namanya ABU HAFSIN ‘Umar bin al-Khattab bin ‘Uqail bin ‘Abdul
‘Uzza bin Rayah bin Abdullah bin Qart bin Razah bin ‘Adi bin Ka’ab bin Luai bin
Ghaalib, dari keturunan Quraisy berbangsa ‘Adwi.”
Menurut guru saya, perkataan ‘Hafsin’ itu bermaksud ‘singa’
(ataupun yang sejenis dengannya). Jadi gelaran untuk Saidina Umar ialah ‘Bapa
Singa’. Gelaran ini diberikan kerana ketegasan dan kegarangannya dalam
melaksanakan segala perintah Allah. Maksudnya nama ‘Abu Hafsin’ tidak ada kena-mengena
dengan Hafsah anaknya.
Ketiga, baru-baru ini saya terperasan dalam buku Hadith
40 Imam Nawawi oleh Mustafa Abdul Rahman, Dewan Pustaka Fajar tentang nama ‘Abu
Hafsin’ ini. Pada muka surat 56 tertulis:
“Orang Islam menyebut beliau dengan panggilan Abu Hafs,
ertinya bapa singa, mengingat keberanian kepahlawanan beliau itu.”
Jelas lagi bersuluh, gelaran ‘Abu Hafsin’ itu tidak ada
kena-mengena dengan anaknya Hafsah sebagaimana yang didakwa oleh maulana dan
orang-orangnya. Dengan itu, gelaran itu
bukan bukti Saidina Umar tidak pernah membunuh anak perempuannya. Bukti-bukti
yang benar pasti kita terima, bukti-bukti yang bohong tetap kita tolak.
Janganlah dalam usaha untuk mensucikan sahabat kita
melampau-lampau dalam mencari hujah hingga ke tahap berdusta. Jika begitu
keadaannya, apa bezanya kita dengan sebahagian kaum Syiah yang banyak berdusta
dalam mempertahankan ajaran mereka?
Sesiapa yang pernah bersubahat dalam menyebarkan
pembohongan ini, sila buat pembetulan semula kepada pihak-pihak yang pernah
membaca sebaran anda itu.
|