Antara individu tempatan yang didakwa sebagai salah
seorang ‘Ahbash’ ialah Ustaz Zamihan al-Ghari. Pelik saya memikirkannya kerana setakat yang
kita perhatikan, pegangan Ustaz Zamihan banyak yang tidak selari dengan
ciri-ciri Ahbash yang digariskan oleh para pendakwa.
Mereka mengatakan Ahbash mengkafirkan Syeikh Wahbah
az-Zuhaili. Namun saya perhatikan pada muka depan blog Ustaz Zamihan di
bahagian atas kanan tertera gambar dan sedikit penerangan tentang Tuan Syeikh
ini (setakat hari tulisan ini dibuat).
Mereka mengatakan Ahbash bekerjasama dengan Zionis untuk
menjahanamkan Palestin. Seperti kata salah seorang daripada mereka yang bernama
Maszlee dari al-Ahkam.net, “depa ni sah agen Zionis” dan “pesanan saya,
jelaslah Ahbash ini agen Zionis!!!” Lagi katanya, “mereka membantu Israel untuk
hancurkan HAMAS di Palestin.”
Tapi yang kita lihat, berkaitan Perang Gaza baru-baru ini
Ustaz Zamihan menyatakan sokongannya kepada Palestin dan para pejuangnya. Sila
baca tulisan di blognya yang bertajuk “Selamatkanlah Palestin”. Antara isinya
berbunyi, “...umat Islam WAJIB bersatu padu menentang penjajahan rejim zionis.”
Lagi isinya, “Beliau juga menggesa supaya umat Islam memberi sokongan kepada
gerakan Islam (Hamas-Fatah dan Hizbullah) yang berjuang utk membebaskan diri
mereka dari cengkaman Yahudi. Umat ini haram untuk terus berpeluk tubuh atas
pencerobohan Israel.”
Betulkah orang seperti ini bekerjasama dengan Zionis
untuk menjahanaman Palestin? Bagaimana orang yang menggesa umat untuk menyokong
HAMAS dikatakan mahu menghancurkan HAMAS? Dikatakan pula kaum Ahbash ini
memusuhi malah mengkafirkan Ikhwanul Muslimin. Padahal Syeikh Wahbah Zuhaili
dan Hamas ialah dari Ikhwanul Muslimin!
Kata Maszlee lagi, “Tak mustahil di Malaysia ini, mereka
akan menjadi agen Zionis untuk hancurkan gerakan-gerakan Islam yang
lain... Perlu beritahu rakan-rakan PAS,
JIM dan ABIM agar mereka berhati-hati...kerana mereka juga komited dalam isu
Palestin!”
Tohmahan ini terjawab pada muka depan blog Ustaz Zamihan
di sebelah kanannya yang berbunyi, “ILIM dgn kerjasama
ABIM menganjurkan Kursus Pemantapan Iman kepada 130 pimpinan ABIM seluruh
negara pd 19-21 Disember lalu. Sesi 3 hari dua malam ini memuatkan 4
pembentangan kertas kerja oleh Prof Dr Sidek Baba, Dr Abd Halim el-Muhammadiy,
Dr Farid Shahran dan Dr Abd Ghafar Surip. Us Zamihan diberi penghormatan ucapan
aluan dan menyampaikan kuliah subuh. Di sebelah petang pula diadakan perlawanan
bolasepak persahabatan antara ILIM dan ABIM. Pasukan ILIM yg diterajui Us
al-Ghari + pemain import berjaya mengalahkan pilihan ABIM 7-3. Dua gol
disumbangkan oleh Us al-Ghari dgn larian solo sambil menggelecek berjaya
menghiburkan penonton.Kursus ini berlangsung dgn baik dan sempurna.Selamat Maju
jaya ILIM dan ABIM.”
Bagaimana seorang yang menjalinkan
hubungan baik dengan ABIM digambarkan sebagai musuh kepada ABIM? Mukminkah
orang yang membuat tuduhan sebegitu?
Tulisan ini bukanlah bermaksud saya
menyetujui kesemua pegangan Ustaz Zamihan al-Ghari kerana pastinya antara
sesiapapun akan ada perbezaan pandangan dalam hal-hal tertentu, tapi tulisan
ini dibuat kerana saya sudah berasa letih melihat anak-anak muda yang secara
bertaqlid buta mempercayai tuduhan-tuduhan kaum Salafi Wahabi ke atas orang
lain.
‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI
SATU UMAT’
Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’
4 FEB 2009
|