Jangan baca jika tidak ikhlas...
Doa:
Bismillah.
Ya Allah lindungilah masyarakat Palestin dari ancaman
bahaya dari kafir Israel. Demi Allah saya akan kirim doa ini kepada 10 orang
teman saya.
TAMAT
Begitulah lebih kurang bicara satu mesej yang dimajukan
kepada saya. Sejak tulisan saya ‘Hadis Palsu Zaman Moden’ disiarkan, saya
menerima beberapa lagi ‘hadis palsu moden’ untuk diminta penjelasan. Terima
kasih banyak kepada pengirim atas kepekaannya.
Sangat penting untuk kita sama-sama maklumi di sini,
antara cara untuk mengenal hadis palsu moden ialah mesej itu :
1. Mengandungi
GESAAN supaya menyebarkannya kepada orang lain, lebih-lebih lagi jika
dinyatakan jumlah orang yang perlu kita majukan mesej. Contohnya 7 orang, 10
orang dan sebagainya.
2. Mengandungi
ANCAMAN khabar buruk jika kita enggan menyebarkannya. Contohnya akan mengalami
malapetaka, gagal mendapatkan sesuatu, terlepas daripada memperolehi sesuatu
dan sebagainya
Apabila kita menerima mesej seperti ini, tolonglah jangan
dilayan. Kemudaratan hanya datang daripada Allah, tukang pencipta mesej itu
tidak ada apa-apa kuasa. Mereka mungkin:
1. Orang
yang mahu mencetuskan kebimbangan tak berasas dalam kalangan umat, ataupun
2. Orang
yang mahu mengaut keuntungan-keuntungan tertentu terutamanya dari segi kewangan,
ataupun
3. Orang
yang mahu bergurau-senda tapi tak kena tempat
Kita lihat satu lagi mesej. Kali ini sasarannya ialah
para pelajar yang sedang menunggu keputusan peperiksaan.
MULA
Ya Allah... kauberilah kami keputusan yang terbaik ya
Allah
Ya Allah sesunguhnya Engkau Maha Pemurah ya Allah
Setidak-tidaknya Kauberilah kami lulus ya Allah
Dan janganlah Kauberi kami kegagalan ya Allah
SEBARKAN MESEJ INI KEPADA 10 ORANG RAKAN ANDA
JANGAN MENYESAL SEKIRANYA ANDA GAGAL DALAM PEPERIKSAAN
KERANA TAK FORWARD MESEJ INI KEPADA ORANG LAIN SUPAYA ANDA DIDOAKAN MEREKA!
SEMOGA KEJAYAAN MENANTI ANDA. INSYAALLAH... AMIN!
TAMAT.
Tanpa segan silu menggunakan agama, doa dan nama Allah
untuk membuatkan ribuan mesej berpindah dari satu telefon ke telefon yang lain.
Lawak betul ancaman yang disertakan. Jika kita tidak menyebarkan satu doa saja,
kita akan gagal dalam peperiksaan. Sungguhpun lawak, tapi niat dan cara
pencetusnya memang jahat. Pada bahagian doa ditulisnya huruf kecil, pada
ancaman dan gesaan penyebaran ditulisnya huruf besar untuk menunjukkan betapa
pentingnya hal ini. Psikologi murahan!
Bayangkanlah remaja kita hari ini yang lemah pengetahuan
dan amalan agama mereka. Apabila menerima mesej seperti ini banyak yang berasa
risau. Mahu tak mahu mereka akan majukan mesej ini kepada 10 orang rakan
mereka.
Di bawah ini ada satu lagi mesej yang memang elok jika kita doakan supaya bala
menimpa pencetusnya.
MULA
Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan result
SPM akan keluar pada xx/xx/xx.
Untuk maklumat lanjut sila layari XXXXXXXXXX.com.my
SEBARKAN KEPADA CALON SPM LAIN
TAMAT
Amboiiii, bahagian “sebarkan” ditulisnya huruf besar.
Atas aduan mereka yang prihatin, saya pun pergilah ke laman yang dimaksudkan. Jika
benarlah sangkaan saya, memang celaka pencetus mesej ini. Dibinanya satu laman ‘mengaut
duit’. Satu klik katakanlah 1 sen. 6-7 kali saya klik kerana berpindah muka
surat. Saya pun tidak ada pengetahuan tentang laman-laman ‘kaut duit’ sebegini.
Jika berpindah muka surat pun dikira 1 sen, maksudnya sudah 7 sen wang
terkumpulnya. Wallahualam.
1 orang 1 sen. Kalau 1,000 orang? 10,000 orang? 1,000,000
orang?
Saya yakin mereka ini ada yang punya beberapa laman. 1
laman dapat 1,000,000 klik. Kalau 10 laman?
Mengapa saya klik ke muka surat lain? Pengendali laman
itu pun bijak juga orangnya. Diletakkannya tajuk-tajuk lain yang memang menarik
minat kita untuk berpindah muka surat. Sasarannya bukan pelajar saja, guru pun
sama. Diletakknya tajuk/ link tentang ‘pertukaran guru’ dan lain-lain. Pastinya
pihak guru yang membaca akan klik. Yang selain guru pun ada. Antaranya link ‘berita
semasa terkini’. Lagi banyak muka surat kita buka, lagi si celaka itu suka.
Kesimpulan besarnya, saya menyeru kepada semua... JANGAN ‘FORWARD’
lagi apa-apa mesej ‘hadis palsu zaman moden’. Ada saja ANCAMAN pada mesej itu,
terus ‘delete’. Ada saja GESAAN supaya disebarkan kepada orang lain, terus ‘delete’.
Tak perlulah bertanya lagi tentang kesahihannya kerana hal itu pun membawa
kepada perpindahan banyak mesej antara penanya dengan penjelas. Puak-puak jahat
itu memang suka jika jutaan mesej berpindah.
Wallahualam.
Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’
14 SAFAR 1430
10 FEBRUARI 2009
|