Macam-macam jenis ‘wang hantaran’ perkahwinan. Satu contoh di
persekitaran tempat tinggal saya, mas kahwinnya RM 500 dan hantarannya RM 7000.
Paras sebegini adalah paras biasa.
Lain padang
lainlah belalangnya. Ada
tempat yang mas kahwinnya serendah RM 80 tetapi wang hantarannya RM 10000. Ada pula yang mas kahwinnya
RM 3-4 ribu tetapi ‘belanja hangusnya’ tiada. Tiada wang hantaran. Terpulanglah
kepada pihak lelaki untuk beri ataupun tidak. Jumlahnya mengikut ikhlas hati
pihak lelaki. Ada
pula yang berpada dengan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai mas kahwin tetapi hal
ini jarang sangat berlaku.
Pernah satu rombongan pergi meminang. Dalam apacara itu
kedua-dua pihakpun hendak menetapkan tarikh pernikahan. Pihak perempuan
menyebut ‘sebulan’. Pihak lelaki pun senang hatilah kerana menyangkakan
‘sebulan’ itu adalah tempoh paling cepat pernikahan akan dilangsungkan. Rupa-rupanya
‘sebulan’ itu adalah tempoh paling lewat! Terkedu pihak lelaki. Di manalah anak
buah mereka itu hendak korek duit dalam tempoh sebulan. Malu-malu alah punya
pasal, mengaku jugalah. Inilah akibatnya kalau sekadar merisik si perempuan
tetapi tidak merisik budaya setempat.
Perkahwinan di sekitar sini memang meriah. Itupun kemeriahannya
sudah ‘ada sikit kurang’ akibat peredaran zaman. Zaman dulu, satu kampung turun
dan anak-anak tidak pergi sekolah sehari dua sebelumnya. Tapi meriah-meriah
sangat pun ada juga kekurangannya.
Apabila kemeriahan sudah menjadi budaya, susahlah sikit
orang-orang yang kurang mampu untuk berkahwin. Walaupun mereka tidak mampu,
tapi mana sanggup buat kenduri sembelih ayam tiga ekor saja. Mana hendak letak
muka apabila berhadapan dengan masyarakat.
Akibatnya, tertangguhlah perkahwinan kawan kita beberapa kali
kerana hendak mencukupkan wang memenuhi kehendak budaya setempat tadi. Ada yang tak kahwin
sampai ke sudah. Antara bahayanya, pasangan yang asyik tertangguh saja tadi
mungkin terlibat dengan maksiat.
Seorang sahabat dari Kelantan terperanjat melihat kemeriahan
majlis perkahwinan di sini. Katanya di tempat asalnya hanya orang tua-tua yang
pergi majlis perkahwinan. Jiran-jiran berkahwin pun golongan muda memang tidak
pergi makan tengah hari.
Majlis pertunangan di sebelah sini pun sudah semakin hebat.
Silap pandang mungkin orang tersangka itu majlis perkahwinan. Padahal kalau
mengikut sunnahnya, pertunangan tidaklah dihebahkan sampai begitu rupa. Yang
dihebahkan adalah pernikahan.
Tengok majlis pertunangan pun sudah cukup membuatkan ‘rakan kita
yang tak cukup duit’ tadi membatalkan hasratnya untuk berkahwin. Bertunang saja
nilainya sudah dua bulan gaji, belum hari perkahwinan lagi.
Mudahkanlah perkahwinan. Jika perkahwinan menjadi ‘berat’,
banyak masalah lain akan timbul. Golongan tidak berkahwin semakin bertambah.
Pada masa tuanya golongan ini akan menyusahkan orang lain kerana tiada
anak-anak. Maksiat semakin bertambah kerana ia menjadi alternatif kepada
perkahwinan yang membebankan itu. Lagi mahal dan meriah majlis perkahwinan,
lagi banyak pula keruntuhan rumahtangga berlaku.
Apalah makna persandingan di Dataran Merdeka jika kebahagian
rumahtangga hanya wujud selama tiga bulan dan kemudiannya ‘makan hati berulam
jantung’ setahun dua sebelum berpisah…
Apalah bahagianya majlis bernilai RM3 juta jika setahun
selepasnya masing-masing saling saman-menyaman.
Apalah sukanya wang hantaran RM 777,777.77 jika tak sampai tujuh
bulan kita tersedar pasangan kita punyai banyak teman lain ‘yang bukan isteri
tetapi seperti isteri’…
Majlis saya sudah berlalu sembilan tahun yang lalu. Majlis
anda…? : )
|