 Dihantar pada: 27 Apr, 2008 - 04:38 PM
akhi,
saya pernah terdengar pemikiran ummatik tidak beberapa lama dulu. dimana
persamaan dan perbezaan antara ummatik dengan dakwah tajdid segar?
Dihantar pada: 30 Apr, 2008 - 09:41 AM
Yes Tuan Abuadil,
Boleh jadi penjelasan saya nanti sedikit panjang.
Sebelum itu, saya perlu pastikan dulu 'pemikiran ummatik' yang tuan maksudkan.
Apakah satu tulisan Maszlee Malik tentang "Ummah Centric" itu ada
kaitan dengan 'ummatik' yang tuan bicarakan?
Ataupun ada 'ummatik' yang lain?
Jika tuan dapat memberi link tertentu untuk saya rujuk, pastinya akan
memudahkan urusan saya nanti.
Jika saranan Maszlee (yang begitu banyak bezanya dengan Dakwah Tajdid Segar)
itu yang tuan maksudkan, insyaallah akan lebih cepat jawapannya kerana saya
pernah menjawab soalan yang lebih kurang begini suatu masa dulu.
Wassalam.
Dihantar pada: 01 Mei, 2008 - 04:08 PM
jazakallah, betul ya akhi, Maszlee malik, dan saya dapati
daripada tulisan2 MAZA, mufti inderakayangan nampaknya bersetuju dengan idea
ini.
JAWAPAN
Jika begitu jawapannya, saya akan gunakan sebuah artikel
Mazlee Malik bertajuk “Merombak Pemikiran Lapuk”. Bahan-bahan lain tidak saya
temui, begitu juga dengan sokongan Dr. Asri.
Memang benarlah ada beberapa persamaan antara Dakwah Tajdid
Segar dengan ‘ummatik’. Namun begitu, lebih banyak lagi perbezaan antara
kedua-duanya.
SATU
Dakwah Tajdid Segar ini SANGAT LUAS SKOPNYA sedangkan
ummatik hanya berkisar sekitar hal ehwal keburukan
sikap taksub dan jumud terhadap jemaah sendiri dan kesannya kepada umat.
Apa yang diperkatakan oleh ummatik sebenarnya BARU SALAH SATU CABANG DARIPADA
SEKIAN BANYAK CABANG yang dibicarakan dalam Tajdid Segar.
Ummatik bolehlah diibaratkan seperti kita mencari jalan
untuk menghasilkan rempah kari terbaik, sedangkan Tajdid Segar tidak sekadar
mengusahakan perkara yang sama, ia juga sedang mencari jalan bagaimana untuk
menghasilkan masakan kari terbaik, bukan rempahnya sahaja.
Maksudnya, selain daripada membicarakan tentang rempahnya,
Tajdid Segar turut membicarakan tentang minyak masaknya, jenis belanganya, kadar
gula garamnya, penghasilan bawang putih terbaik, suhu memasak yang paling
sesuai dan sebagainya.
Kesimpulannya, Tajdid Segar mengusahakan perkara yang JAUH
LEBIH BESAR daripada ummatik.
DUA
Lihat bahagian ini:
[Ketika saya pernah ditanyakan oleh salah seorang siswa,
"Ustaz ni jemaah JIM ke?". Saya segera membalas, "Tidak, saya
ahli jemaah Muslimin". Dia bertanya, "Jemaah baru ke tu?". Saya
katakan kepadanya, "Tidak, ia telah wujud semenjak zaman Rasulullah S.A.W
lagi". Beliau tidak berpuas hati, "Itu saya tahu, tapi kan ustaz ahli
JIM". Saya membalas sambil tersenyum, "Ya, saya ahli JIM, ahli Darul
Fitrah, ahli Persatuan Ulama Malaysia, ahli Muslim Profesional Forum, ahli
Pertubuhan al-Nidaa, rakan kepada ABIM, Ricoi, Hunafa, Accin, US, PAS,
keADILan, UMNO dan macam-macam lagi "jemaah".]
Berdasarkan tulisan Maszlee ini, nampak ideanya lebih
menjurus kepada ‘MEROJAKKAN JEMAAH. Bayangkan jika semua pekerja agama begini. Kita
ambil contoh. Apa pandangan anda jika Tuan
Guru Nik Aziz berkata: “Saya ahli PAS, ahli Keadilan, aktif dalam ABIM, anggota
JIM, ahli UMNO dan seterusnya…
Ke mana sebenarnya hala tuju orang yang bersikap begini?
Sejauhmana berkesannya hobi mengumpul keahlian seperti ini?
Sama-sama kita fikirkan.
TIGA
Tulisnya:
["Anda masih lagi hidup di zaman 70'an, 80'an dan
90'an...masih lagi di takuk pemikiran Jemaah Centric"
Impaknya amat ketara, selain daripada kesan positif yang
mendorong kepada banyak perubahan di Malaysia, pemikiran jemaah centric
juga menimbulkan banyak kesan negatif.
Perbalahan, perpecahan, pergeseran hati, malah di sesetengah tempat membawa
kepada pergaduhan.
'Jemaah ana lebih tua!', 'jemaah ana lebih tarbiah', 'jemaah
ana lebih memperjuangkan sunnah', 'jemaah aku lebih agresif", 'jemaah saya
lebih memperjuangkan khilafah', 'jemaah saya ada Imam Mahdi!' . Itulah di
antara slogan-slogan yang sering berkumandang selama lebih tiga dekad di Malaysia di
kalangan ahli pelbagai pertubuhan Islam. Akhirnya masing-masing tenggelam di
dalam menegakkan jemaah masing-masing yang dianggap lebih utama, lebih awla,
lebih "asalah" (tulen), lebih hebat dan lebih segala-galanya daripada
jemaah-jemaah yang lain. Kesimpulannya, jemaah centric adalah satu pola pemikiran
yang lebih banyak membawa kepada perpecahan daripada penyatuan!]
Bahagian ini memang selaras dengan saranan-saranan Tajdid
Segar. Sikap ‘jemaah aku yang terbetul’“jemaah aku
sajalah yang betul’ atau “inilah
saja jalan Rasulullah” sepatutnya sudah lama ditolak ke tepi.
ataupun lebih dahsyat lagi
Ada
jemaah yang sampai TIDAK MAHU BEKERJASAMA LANGSUNG dengan jemaah-jemaah lain, BERFIKIR
KE ARAHNYA PUN TIDAK. Bahkan ada yang menganggap jemaah-jemaah lain itu bukan
jemaah, jemahnya saja yang jemaah. Jemaahnya saja yang ikut cara Nabi, yang
lain-lain tidak. Jemaah-jemaah lain mesti eprjuangkan apa yang jemaahnya
perjuangkan sedangkan dia pula tidak perlu ambil tahu perjuangan orang lain.
Di sini ada persamaan antara ummatik dengan Dakwah Tajdid
Segar.
Namun begitu, ummatik hanya membincangkan sikap ini dan
mengaitkannya dengan jemaah-jemaah sahaja. Bagi Tajdid Segar, sikap ini juga
dikaitkan dengan FAHAMAN.
Sikap “kajian aku/ tokoh aku yang lebih betul/ sunnah”
ataupun “pendapat aku/ tokoh aku yang betul/ sunnah (yang lain-lain tidak
sunnah)” sebagaimana yang dibawa oleh beberapa fahaman termasuklah fahaman
Salafi Wahabi juga ditolak. Kita faham Maszlee Malik tidak mengaitkan hal ini
kerana dia sendiri begitu cenderung kepada fahaman Salafi Wahabi ini. Jenis ini
sangat sukar menerima keputusan ‘khilaf’, melainkan keputusannya/ tokohnyalah
yang betul, yang selaras dengan sunnah.
EMPAT
[“Maka, apakah penyelesaiannya? Apakah jemaah-jemaah yang
wujud perlu dileburkan menjadi satu
jemaah yang unggul sahaja? Dengan itu umat Islam semua akan bersatu di
bawah satu panji "ummah" sahaja tanpa khilaf dan perpecahan!
Bunyinya begitu indah, hakikatnya slogan-slogan tersebutlah
yang akhirnya membawa kepada perpecahan yang lebih teruk. Slogan "kembali kepada satu jemaahlah yang telah menyebabkan
krisis di antara jemaah berterusan, dari dulu, kini dan selamanya. Mengapa?
Ini kerana tabiat manusia itu berbeza, gaya
pemikirannya berlainan, tahap pemikiran tidak sama, dan manusia itu sendiri
secara fizikalnya berbeza-beza. Perkara inilah yang telah disentuh oleh Dr.
Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya "al-Sahwah al-lslamiyyah baina
al-Ikhtilaf al-Masyru' wa tafarruq al-mazmum"]
Tajdid Segar juga tidak menyarankan kewujudan satu jemaah
saja. Hal ini mustahil berlaku. Jadi ummatik dan Tajdid Segar sekata.
Perbezaannya, ummatik tidak menyarankan apa-apa sedangkan
Tajdid Segar menyarankan pembentukan satu organisasi penaung sebagaimana OIC
menaungi negara-negara Islam. Hendaklah ada kerjasama YANG KUKUH dalam hal-hal
yang disepakati antara semua jemaah.
Semua negara tetap negara yang berasingan, namun berada
dalam satu kesatuan. Walaupun ada wakil negara yang menjadi ketua, setiausaha,
biro dan sebagainya, namun mereka tidak berkuasa ke atas negara-negara lain. Contohnya, Malaysia
menjadi ketua OIC musim ini, namun Malaysia
tetap tidak punya kuasa ke atas Indonesia,
Brunei, Iran dan
negara-negara lain.
OIC tidak dapat mengusahakan banyak perkara kerana pihak
musuh boleh ‘MENEKAN’ mana-mana negara yang bersuara ‘lebih’. Tapi mereka tidak
dapat menekan OIC Tajdid Segar kerana jemah-jemaah ini bertebaran ke seluruh
pelusuk dunia dan tidak punya sempadan geografi. Hanya jemaah-jemaah yang bersempadan
geografi saja yang boleh ditekan seperti Nahdatul Ulama, PAS, Muhammadiah, NGO-NGO
dan lain-lain yang tidak/ belum bersifat sejagat.
Tentang Syeikh Qardhawi, apa yang diperkatakannya memang
benar namun ideanya juga terhenti setakat itu saja. Katakanlah untuk satu-satu
musim, majlis syura OIC Tajdid Segar ini diwakili oleh Syeikh A dari golongan
tariqat, Dr Ramadhan al-Buti dari Ikhwanul Muslimin, Syeikh B dari Jamaat Islami
(sebagai wakil parti-parti politik), Prof C dari Hizbut Tahrir, Mr D dari HAMAS
(wakil pejuang bersenjata), Maulana E
dari Jemaat Tabligh….. dan Syeikh Nazeem dari Naqsyabandiah sebagai Ketua
Majlis Syura musim tersebut manakala Qardhawi hanya menjadi ahli biasa daripada
70 wakil jemaah seluruh dunia…
Sanggupkah Qardhawi meletakkan dirinya lebih bawah daripada
tokoh-tokoh lain untuk musim tersebut (mungkin pada musim yang lain beliau pula
akan dipilih sebagai ahli Syura ataupun dilantik sebagai Ketua Majlis Syura)? Ataupun
dia akan berasa ego dan menganggap dirinya paling layak berada di atas?
Mungkinkah akan ada sikap ‘aku centric’ dengan hati kecil yang berkata, “Aku
lebih penting”, “Aku paling layak”, “Aku lebih berpengalaman”, “Aku wali qutub
zaman ini”, “Aku mujaddid zaman ini, mana boleh duduk di bawah!” dan
sebagainya?
Soalan di atas menjadikan Qardhawi sebagai contoh, tetapi
sebenarnya ia ditujukan kepada semua tokoh jemaah Islam yang ada.
Dalam konteks Malaysia, sanggupkah Dato’ Nik Aziz
ataupun Ustaz Hadi Awang dipengerusikan oleh Presiden ABIM ataupun Amir Tabligh
dalam syura tersebut?
Keismpulannya, saranan ummatik terhenti kepada menghilangkan
ego dalam kalangan jemaah-jemaah yang ada, sedangkan saranan Tajdid Segar lebih
ke hadapan, ke arah menghilangkan ego dalam diri tokoh-tokoh sendiri.
Saya melihat ada tokoh-tokoh yang sudah mula nampak akan
kepentingan bergerak sebagai satu umat ini tetapi mereka tidak berani menyuarakannya
kerana bimbang jika OIC Tajdid Segar ini berjaya dizahirkan, mereka akan berada
pada kedudukan yang lebih rendah daripada orang lain. “Aku mesti memimpin, mana
boleh aku dipimpin”.
Mereka tidak sanggup mencontohi Nabi Musa yang merendah diri
kepada Nabi Khidhir, Imam al-Ghazali merendah diri kepada adiknya Ahmad
al-Ghazali, Nabi Khidir merendah diri kepada Zulqarnain, Sunan Kudus merendah
diri kepada Sultan Demak, Saidina Ali merendah diri kepada Uwais al-Qarni dan
banyak lagi contoh di mana manusia yang lebih utama tidak merasa tercalar
maruahnya apabila sesekali duduk di bawah orang yang lebih rendah daripada
mereka atas kepentingan-kepentingan tertentu.
Zaman kegemilangan Islam kali kedua pasti muncul jika
jemaah-jemaah (khususnya tokoh-tokoh) ini sanggup ‘BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT
di samping ‘BERGERAK SECARA BERBILANG JEMAAH’. Malangnya hingga ke saat ini,
masing-masing sudah selesa dengan hanya ‘bergerak
secara berbilang jemaah’ sahaja.
LIMA
[Tiada salahnya kewujudan jemaah-jemaah selagi mereka
berpaksikan pemikiran "Ummah Centric" dan bukannya "Jemaah
Centric".
Tidak salah wujudnya jemaah-jemaah selagi ia wujud sebagai organisasi untuk
melaksanakan kerja-kerja dakwah dan perubahan secara kolektif, dan tidak lebih
daripada organisasi yang menghimpunkan ahli-ahli yang mempunyai persamaan dan
keserasian untuk mencapai objektif yang sama. Tiada salah juga berjemaah selagi
ia membawa kepada penyatuan tenaga untuk melakukan kerja-kerja Islam di bawah
satu organisasi yang tersusun kemas selaras dengan seruan Allah SWT: "Sesungguhnya Allah menyukai mereka
yang berperang di jalan-Nya di dalam satu barisan, seolah-olah mereka sebuah
bangunan yang kukuh"(al-Saff: ayat 3).
Jangan lebih daripada itu hendaknya. Jika adanya unsur
'jemaah saya yang utama', 'Jemaah saya yang paling hebat', 'jemaah saya yang
paling hebat tarbiah', 'jemaah saya yang paling sunnah", 'jemaah saya yang
paling ulama' dan lain-lain kredibiliti yang mengatasi kesatuan ummah, maka
perpecahan akan segera timbul.]
Satu acuan dengan saranan-saranan Tajdid Segar.
ENAM
[Dalam menuntut ilmu juga begitu juga hendaknya, dan
bukannya sikap mengikuti atau mendengar atau menghadiri hanya kuliah-kuliah dan
kelas-kelas pengajian "oghe-oghe kito" sahaja dan menutup telinga dan
pintu hati pada orang-orang dari jemaah lain. Dalam membaca begitu juga,
Janganlah hanya membaca literasi "harakah" yang versi "fikrah
kita" sahaja dan memandang sepi literasi hasil tulisan orang-orang dari
kumpulan lain, walhal kemungkinan apa yang ada pada orang lain itu lebih
bermanfaat dan lebih baik.]
Setuju juga. Utamakan yang jemaah kita tapi jangan
tinggalkan untuk ambil tahu yang jemaah lain punya. Seperti biasa, Maszlee
tidak menyentuh fahaman Salafi Wahabi. Tidak pula dia menggalakkan para Salafi
Wahabi agar SESEKALI keluar 3 hari mengikut jemaah Tabligh, mengikut suluk kaum
tariqat, menghadiri kuliah tauhid para sufi, membaca blog-blog penulis
berfahaman Tajdid Segar, berforum di Bicarasufi, mendengar jawapan-jawapan
Syeikh Nuruddin kepada Dr. Asri dan sebagainya.
TUJUH
[Pemikiran ummatik ini perlu disemadikan di dalam hati para
pencinta Islam dan pejuang-pejuang syariat Islam agar segala usaha dirasakan
sebagai tanggungjawab bersama.
Jika beroleh kemenangan, ia tidak akan dimonopoli oleh golongan-golongan
tertentu sahaja, tetapi dirasakan sebagai milik semua. Jika ada kelemahan
terhadap usaha orang lain, pihak yang nampak kelemahan tersebut, walaupun dari
jemaah lain, akan segera membantu untuk memperbaikinya dan bukan menghentam
atau menjadikannya sebagai hujah untuk menjatuhkannya. Pemikiran ummatik juga
akan membuatkan semua jemaah melihat jemaah-jemaah lain sebagai rakan setugas,
rakan sepasukan dan juga rakan seperjuangan, yang walaupun lain gaya bekerja, tetapi
tetap di bawah satu majikan yang sama.
Pemikiran ummatik juga akan menguatkan lagi usaha-usaha
untuk tajdid, islah dan dakwah. Sinergi di antara jemaah di atas usaha-usaha
bersama akan lebih banyak dan lebih memberikan impak. Tanpa prejudis, tanpa
kebencian, tanpa hasad,tanpa fitnah memfitnah, tanpa jatuh menjatuhkan, tanpa
hentam menghentam, dan yang penting lagi tanpa merasakan orang di luar jemaah
kita adalah "orang lain". Jika semua pendukung jemaah-jemaah yang
wujud dapat merasakan bahawa semua jemaah-jemaah dan juga orang-orang lain yang
mungkin tidak berjemaah sebagai saudara seummah mereka, di waktu itu,
insya-Allah keberkatan dan bantuan Allah akan turun. Hal ini perlu dimulakan
segera, bermula dengan pemikiran dan juga hati!]
Selaras!
LAPAN
[Fiqh Ikhtilaf
Selain daripada berfikiran ummah centric, para pencinta
Islam juga wajib menghayati flqh dan juga adab berikhtilaf. Kata-kata Imam
al-Syafi'i yang berbunyi: "Pandanganku adalah benar menurut pendapatku,
tetapi berkemungkinan silap, dan pendapat lawanku adalah silap pada
pandanganku, tetapi berkemungkinan mengandungi kebenaran". Kata-kata
al-Marhum Rashid Redha yang kemudiannya dipopularkan oleh Hassan al-Banna juga
merupakan satu kaedah emas yang boleh dijadikan penawar di dalam menangani
masalah perpecahan disebabkan pemikiran jemaah centric.
Beliau berkata: "Kita bekerjasama di dalam perkara yang
kita sepakati dan kita berlapang dada di dalam apa yang kita
perselisihkan"
Di dalam berikhtilaf semua pihak perlulah ikhlas dan
benar-benar meletakkan Islam sebagai matlamat mereka dan bukannya jemaah atau
fikrah. Bunyinya seperti mudah, namun pelaksanaannya tidak semudah diucapkan.
Sekali lagi ia perlu bermula dari hati, dari pemikiran dan juga dari roh"
ummah centric".
]
Dalam hal ini, cakap saudara Maszlee nampak macam tak serupa
bikin terutamanya pada bahagian ini:
"Kita bekerjasama di dalam perkara yang kita sepakati
dan kita berlapang dada di dalam apa
yang kita perselisihkan".
PENUTUP
Begitulah secara ringkasnya beberapa persamaan dan perbezaan
antara Tajdid Segar dengan Ummatik. Seperti yang pernah saya sarankan,
sebaiknya tuan baca dan fahamkan blog Tajdid Segar Tajdid Sebenar terutamanya
pada bahagian Saranan & Intipati. Semoga dengan penerangan yang tidak seberapa
ini dapat memberi manfaat buat tuan.
Wallahualam.
‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’
Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’
USUL TAJDID SEGAR:
Bergerak sebagai satu umat di samping bergerak secara
berbilang-bilang jemaah. Tidak bergerak secara berbilang-bilang jemaah saja.
BUAH AMAL:
Mulai hari ini kita cuba bergaul mesra dengan ahli-ahli
pelbagai jemaah dan utarakan konsep bergerak sebagai satu umat jika berpeluang.
Ceritakan apa kelebihan-kelebihan bergerak sebagai satu umat dan apa
keburukan-keburukan jika mengabaikannya.
USUL TAJDID SEGAR:
Redha jika ditakdirkan kita dipimpin oleh seorang yang lebih
rendah makamnya daripada kita.
BUAH AMAL:
Mulai hari ini buang segala sikap ego, sikap ‘aku/ pemimpin
aku mesti memimpin, mustahil dipimpin’, sikap ‘aku/ pemimpin aku lebih utama
berbanding kamu/ pemimpin kamu’ dan seumpamanya. Selalulah merendah diri. Jika
benarpun kita tokoh pilihan Tuhan, tidak perlu menunjuk-nunjuk, sudah pasti
dengan sendirinya (dengan kuasa Tuhan) kita akan ditunjuk oleh orang lain.
|