*Berikut
adalah sebahagian daripada isi tazkirah yang saya sampaikan pada malam kedua
Ramadhan sewaktu mengimamkan solat tarawikh.
Alhamdulillah,
segala puji-pujian bagi Allah SWT- Tuhan semesta alam. Kita sangat-sangat
bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan kehendak-Nya, Dia telah memilih kita
untuk sekali lagi berada dalam bulan Ramadhan yang mulia, yakni masuk ke dalam universiti
Ramadhan.
Kenapa
dinamakan universiti Ramadhan? Kerana bulan ini merupakan bulan tarbiah, bulan
pendidikan, di mana jiwa-jiwa kita ditarbiah dengan undang-undang Ramadhan dan hati-hati
kita dimotivasikan dengan kelebihan-kelebihan atau fadhilat-fadhilat Ramadhan.
Bukan
senang nak masuk univerisiti, tapi kita pada hari ini Alhamdulillah syukur,
dipilih oleh Tuhan untuk sama-sama masuk university Ramadhan.
Pendaftarannya
cukup mudah, tak payah bayar duit cuma niat saja sama ada niat setiap hari
ataupun niat sebulan terus.
Tuan-tuan
yang dirahmati Allah sekelian,
Bulan
bertuah ini juga bolehlah disebut sebagai bulan ibadah. Boleh juga disebut
sebagai bulan mujahadah. Disebut juga bulan rahmah dan bulan maghfirah. Dan macam-macam
lagi sebutan yang baik-baik. Jangan kita sebut dengan yang tak baik sudahlah.
“Wuih nak mai dah bulan bala, nak makan minum susah.
Jadi
namanya bulan ibadah, bulan mujahadah, bulan rahmah, bulan maghfirah.
Kenapa
dinamakan bulan ibadah? Kerana pada bulan ini manusia berlumba-lumba untuk
menambah amal-amalan mereka. Kalau sebelum bulan Ramadhan dia malas nak beramal
ibadah, tapi apabila sampai saja bulan Ramadhan, biasanya amalan seseorang akan
bertambah walaupun sedikit. Betul tak?
Jadi
pada bulan ini manusia berlumba-lumba untuk menambah amal-amalan mereka. Ataupun
dari segi hakikatnya untuk menambah ‘pengabdian’ kepada Allah SWT. Perkataan
ibadah berkait rapat dengan perkatan abdi, berkait juga dengan perkataan abdullah.
Beribadah ni maksudnya berabdi kepada Allah. Macam mana cara berabdi kepada
Allah? Buat apa yang Dia suruh dan jangan buat apa yang Dia larang. Selain itu,
kita tambah dengan buat apa yang Dia suka, iaitu amalan-amalan sunat.
Begitulah
cara-cara berabdi kepada Allah.
Kenapa
dinamakan bulan mujahadah? Sebab pada bulan ini kita berperang melawan nafsu.
Sesiapa yang berlawan sungguh-sungguh dengan nafsunya, dia dikira mujahid.
Kalau setakat lawan sikit-sikit ni, taklah dinamakan mujahid, tidaklah
dinamakan mujahadah. Kena bersungguh-sungguh, baru dia dikira sebagai mujahid,
barulah usahanya itu dinamakan mujahadah.
Perkataan
mujahadah ini adik-beradik dengan jihad, iaitu satu usaha yang
bersungguh-sungguh. Secara khususnya dinisbahkan kepada berperang melawan
musuh-musuh Islam tetapi secara umumnya dinisbahkan kepada satu usaha yang
bersungguh-sungguh.
Mujahadah
juga berkait-rapat dengan mujahidin.
Kenapa
dinamakan bulan rahmah? Sebab pada bulan ini rahmat Allah melimpah-ruah.
Kenapa
dinamakan bulan maghfirah? Perkataan maghfirah ini berkaita-rapat dengan
perkataan istighfar. Yang kita sebut lepas solat “Astaghfirullahal ‘azim” tu
istighfarlah. Istighfar maksudnya minta ampun. Maghfirah maksudnya ‘keampunan’.
Jadi bulan Ramadhan ini adalah bulan keampunan. Pintu taubat, pintu keampunan
terbuka seluas-luasnya.
Terpulanglah
kepada kita sama ada hendak menggunakan kelebihan-kelebihan yang ada sepanjang
bulan ini ataupun tidak. Siapa tak mahu rugilah, pada bulan-bulan lain tak ada
macam ni.
|