Untuk pertama
kalinya dalam tempoh 20 tahun, pemerintah Mesir melalui Kementerian Dalam Negerinya
melarang Ikhwanul Muslimin mengadakan majlis berbuka puasa bersama yang
diadakan di hotel lima bintang di Kaherah. Padahal majlis berbuka puasa bersama
yang melibatkan sekitar 1,500 orang undangan itu sudah menjadi tradisi tahunan
organisasi Ikhwanul Muslimin.
Perihal larangan
itu disampaikan oleh Muhammad Mahdi Akef, pemimpin Ikhwanul Muslimin.
"Larangan ini memburukkan reputasi dan martabat Mesir, serta menunjukkan
situasi Mesir yang tidak stabil, yang bakal memberikan kesan negatif kepada ekonomi, politik dan sosial, " kata Akef.
Akef tidak
memaklumkan alasan Kementerian Dalam Negeri melarang majlis yang dibuat ala ‘gala
dinner’ itu. Beliau hanya menyatakan, dirinya berharap Tuhan akan memulihkan
"kewarasan" mereka yang melarang majlis tersebut. Setakat ini,
Kementerian Dalam Negeri Mesir belum memberikan komentar atas larangan
tersebut.
Ikhwanul Muslimin ,
merancang mengadakan majlis itu pada hari Sabtu (22/9), namun pihak berkuasa
Mesir menolak permohonan permit penyelenggaran acara tersebut. Majlis gala
dinner yang akan diadakan Ikhwanul Muslimin kebetulan bersamaan dengan acara
konferens tahunan Parti Nasional Demokrat, parti yang berkuasa di Mesir ketika
ini.
Pemerintah Mesir
sejak sekian lama sudah menyatakan organisasi Ikhwanul Muslimin sebagai
organisasi haram dan kerap melakukan penangkapan terhadap para anggotanya,
meskipun faktanya Ikhwanul Muslimin mempunyai perwakilan sekitar seperlima daripada
jumlah kerusi di parlimen Mesir.
"Mereka ingin
menghancurkan semua entiti yang dapat mengungkap kegagalan-kegagalan pemerintah
Mesir, " kata tokoh Ikhwanul Muslimin, Dr. Abdel-Moneim Aboul Foutouh.
Sejumlah kalangan
yang mengkritik larangan terhadap majlis berbuka puasa Ikhawanul Muslimin
mengatakan, larangan tersebut menunjukkan kelemahan pemerintah Mesir yang
merasa terancam oleh kewujudan Ikhwanul Muslimin. (ln/al-arby) sumber
ULASAN
Takut
benar pemerintah Mesir dengan Ikhwanul Muslimin, hinggakan majlis berbuka puasa
pun tidak boleh diadakan. Padahal majlis berbuka yang tidak selama mana itu
sama sekali tidak akan mencetuskan keganasan, tidak akan menjatuhkan pemerintah
dan tidak akan menjadikan keanggotaan Ikhwanul Muslimin meningkat ribuan orang
dalam satu malam. Habis solat dan makan minum, bersurailah mereka. Yang ada
hanya mungkin pengisian berupa taklimat ataupun tazkirah. Mengapa sampai begitu
sekali sekatan ke atas majlis tersebut?
Jasa-jasa
Ikhwan kepada Mesir dan Islam bukan sedikit. Antaranya sukarelawan Ikhwan hampir-hampir
berjaya menawan al-Aqsa ketika perang dengan Israel. Sudah nampak pun bumbung
al-Aqsa namun tiba-tiba semua mujahidin diarahkan pulang oleh pemerintah.
Pelik, tapi begitulah permainan politik pemerintah dengan Barat dan Zionis.
Kemenangan
Hizbullah ke atas Zionis baru-baru ini adalah kemenangan ‘diserang Zionis’
sedangkan kemenangan Ikhwan yang dinafikan itu adalah kemenangan ‘menyerang
Zionis’. Sudah pasti al-Aqsa berada di tangan Islam jika para pejuang Ikhwan
tidak disabotaj.
Ingatkan
pulang ke tanah air dihargai sebagai pejuang, sebaliknya ditangkap dan
dipenjarakan beramai-ramai. Tidak kurang yang maut ataupun hilang. Mereka bukan
dizalimi Zionis, sebaliknya orang yang sebangsa, senegara dan seagama dengan
mereka. Sejak itu Ikhwan terpaksa bergerak secara sulit.
Tidak
hairanlah jika anggota Ikhwan melaksnakan usrah mingguan duduk di atas jalan
raya pada waktu malam dengan berpakaian t-shirt dan jeans. Kadang-kadang di
kedai-kedai kopi. Nampak macam sedang minum-minum dan berborak kosong, padahal
sedang berusrah. Ketika menjalankan program-program gabungan, ada yang terpaksa
mencukur janggut agar tidak nampak
Islamik di mata pemerintah dan para perisiknya. Jika tertangkap, sangat buruk
padahnya. Tidak kurang buruk layanannya sebagaimana yang ada di penjara Abu
Gharib. Sebab itu mereka tidak berasa terkejut melihat pendedahan gambar-gambar
dari penjara Abu Gharib itu.
Semoga
Ikhwanul Muslimin terus hidup, berjuang dan menjadi lebih berkesan.
|