 DAKWAAN:
Berbeza dengan amalan ziarah kubur sambil membaca
al-Quran di atasnya, di mana jumhur ulama memang melihatnya sebagai bidaah,
kerana beberapa alasan ilmiah.
PENJELASAN
Bagaimana boleh dikatakan “JUMHUR ULAMA memang
melihatnya sebagai bidaah (anda tentu faham apa definisi bidaah menurut Azwira)
jika Imam Syafie, Imam Baihaqi, Syeikh Zakaria Ansari, Syeikh Ibnu Qayyim dan
Syeikh Za’farani tidak menyetujuinya? Bahkan golongan Ansar?
Cuba renung-renungkan kembali...
DAKWAAN:
Pertama, kerana tidak
ada nas sahih yang menyokong amalan membaca al-Quran di kubur. Semua hadis
berkenaan amalan tersebut tiada asal usulnya (palsu) sebagaimana yang
ditegaskan oleh Al-Albani dalam Ahkam Al-Janaiz Wa Bida’iha (1969, hal: 191).
Salam
PENJELASAN:
Apakah Imam Syafie, Imam Baihaqi, Syeikh Zakaria
Ansari, Syeikh Ibnu Qayyim dan Syeikh Za’farani menggunakan nas-nas yang tidak
sahih? Apakah mereka tidak ilmu tentang hal itu?
Kedua, jika berhujah menggunakan ilmu saringan
hadis, tolong jangan bersandarkan kepada saringan Syeikh Albani kerana dia
bukan ulama muktabar dalam bidang ini lagi sering melakukan kesilapan. Lihat
Imam Bukhari, Muslim, Turmizi dan lain-lain, mereka diterima oleh semua aliran
umat Islam. Ini salah satu petanda kemuktabaran mereka. Tetapi Albani hanya
diakui oleh mereka yang berfahaman Salafi Wahabi, yang terpengaruh dengan
fahaman itu dan mereka yang tidak tahu cerita tentang Albani sahaja, bukan
seluruh aliran umat.
Bukti-bukti kedhaifan Albani antaranya boleh
dilihat di sini...
SINI
Jika Imam Bukhari dan Imam Muslim itu mencapai
tahap TERBILANG, Syeikh Albani hanya ditahap CEMERLANG. Paling kuat pun pada
tahap GEMILANG dalam bidang ILMU HADIS .
DAKWAAN:
Kedua, kerana semua
nas sahih berkenaan cara Nabi s.a.w. ziarah kubur tidak menyebut baginda pernah
melakukan amalan membaca al-Quran di kubur. Meskipun para sahabat r.a.
mengajukan pertanyaan yang khusus tentang apa yang perlu dibaca ketika ziarah
kubur, namun baginda menjawabnya tidak lebih daripada sekadar memberi salam dan
mendoakan keampunan untuk ahli kubur. Sekiranya al-Quran boleh dibaca di kubur
nescaya baginda akan menyatakannya.
PENJELASAN:
Hujah ‘kalau Nabi tak pernah buat, maka itu PASTI
ajaran sesat/ salah’ tidak pernah betul. Ini hujah lapok yang belum pernah
benar.
Buktinya, Nabi Muhammad tidak pernah menyuruh umat
Islam bertariqat Naqsyabandiah, apakah itu bukti Tariqat Naqsyabandiah ajaran
sesat/ salah? Baginda tidak bertariqat, aliran Naqsyabandiah pun belum wujud
secara bersendiri pada zaman itu, nama Naqsyabandi baru dikenal ratusan tahun
kemudian...
Tetapi Nabi Muhammad saw menyatakan bahawa yang
akan menakluk Constantinople ialah pemerintah yang baik dan tentera yang baik.
Begitu pengiktirafan Rasulullah kepada mereka. Ternyata yang menakluk
Constantinople ialah Sultan Muhammad al-Fateh seorang ahli tariqat yang
bertariqat Naqsyabandiah. Dia dan bapanya Sultan Murad mempunyai bilik suluk
yang khas di istana. Penasihat Diraja pula ialah seorang khalifah Tariqat
Naqsyabandiah iaitu Syeikh Shamsuddin al Wali. Mereka ini diiktiraf sebagai
pemerintah dan tentera yang baik oleh Rasululllah!
Buktinya lagi, Nabi Muhammad mengerjakan solat
tarawikh 8 rakaat tetapi para sahabat selepas kewafatan baginda mengerjakannya
20 rakaat. Saidina Umar yang menyaksikan perlakuan sahabat itu menyatakan
persetujuannya.
Kalau mengikut kaedah Azwira, ajaran sesatlah semua
itu kerana tidak pernah dinyatakan oleh Nabi!
Anda setuju?
JAWAPAN: ...................................
DAKWAAN:
Ketiga, kerana terdapat nas-nas sahih yang menafikan adanya amalan
membaca al-Quran di kubur pada zaman Nabi s.a.w. seperti sabda baginda yang
bermaksud, Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan.
Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang di bacakan di dalamnya surah
al-Baqarah. (Riwayat Muslim, Tarmizi, dan Ahmad).
Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. menggalakkan umatnya
supaya membaca al-Quran di rumah kerana ia boleh menghalau hantu syaitan.
Baginda melarang umatnya daripada membiarkan rumah mereka sunyi sepi tanpa
bacaan al-Quran kerana rumah yang tiada bacaan al-Quran itu sama seperti
kawasan perkuburan yang juga sunyi sepi lantaran tiada orang membaca al-Quran
di situ.
@ Tulis Azwira: “sama seperti kawasan perkuburan
yang juga sunyi sepi lantaran tiada orang membaca al-Quran di situ.”
Pernyataan Rasulullah ini berbentuk umum ataupun
kebiasaan, bukannya mesti 100%. Untuk memahami perkara ini, saya datangkan
contoh.
Seorang ibu memarahi anak-anaknya yang riuh-rendah,
“Janganlah kamu semua jadikan rumah kamu seperti pasar. “
Si ibu cuba membandingkan rumah yang sepatutnya
tenang dengan pasar yang bising. Apakah ini maksudnya di pasar itu suasananya 100%
bising 24 jam sehari? Jawapannya TIDAK, bukan ‘kullu’ (dan yang sewaktu
dengannya). Ada waktunya pasar pun sunyi juga, c uma kebiasannya pasar
riuh-rendah. Pada waktu petang suasanya sudah tenang dan pada waktu malam pasar
di tutup- sunyi sepi. Betul?
Begitu juga dengan hadis Rasulullah di atas. Rasulullah
membandingkan rumah yang tiada bacaan Quran seolah-olah kawasan perkuburan
kerana KEBIASAANNYA kawasan perkuburan sunyi-sepi, malah sunyi daripada bacaan
al-Quran (pada kebiasaannya). Ini tidak bermaksud kawasan perkuburan itu mesti
100% 24 jam sehari 365 hari setahun
tidak pernah dibaca Quran. Rasulullah bercerita tentang KEBIASAAN, bukan
kemestian 100%.
Sesiapa yang membantah penjelasan ini, cubalah
tunjukkan bahagian mana dalam hadis itu yang menceritakan memang tidak pernah
dibaca Quran di kuburan pada zaman itu? Ada perkatan ‘kullu’ (ataupun yang
sewaktu dengannya)?
Yang ada perkataan ‘kullu’ pun belum tentu
memaksudkan 100%, apatah lagi cakap-cakap baginda yang umum saja!,
DAKWAAN:
Analogi Nabawi ini membuktikan bahawa masyarakat
Islam di zaman Nabi s.a.w. sememangnya tidak melakukan amalan membaca al-Quran
di kubur, sebab itulah baginda menggambarkan rumah yang sunyi daripada bacaan
al-Quran itu sama seperti kubur.
Jika masyarakat Islam di zaman Nabi s.a.w.
melakukan amalan membaca al-Quran di kubur nescaya baginda tidak akan
menyamakan rumah yang tiada bacaan al-Quran itu dengan kubur.
Tiada siapapun menafikan kelebihan membaca al-Quran, tetapi sebagaimana syarak
menggalakkan bacaan al-Quran pihak syarak juga menentukan tempat yang sesuai
untuk membaca al-Quran.
PENJELASAN:
Para ulama yang kita sebutkan di atas tadi pun
rasanya tahu akan hadis ini, tetapi mengapa keputusan mereka berbeza dengan
keputusan Azwira? Kerana pemahaman para ulama itu dan saya ke atas hadis ini
tidak sama dengan pemahaman Azwira.
DAKWAAN:
Majoriti masyarakat Islam di Malaysia boleh dikatakan kurang kerap membaca
al-Quran, justeru jika kekurangan itu disusuli pula dengan kesilapan memilih
tempat, maka ia sesuatu yang sangat merugikan.
PENJELASAN
Majoriti masyarakat Islam di Malaysia boleh dikatakan
kurang kerap mengkaji tetapi suka lagi kerap untuk mengajar orang lain, justeru
jika kekurangan itu disusuli pula dengan kesalahan memilih guru, aliran dan
sumber rujukan, maka ia sesuatu yang sangat-sangat merugikan.
DAKWAAN:
Lebih buruk lagi jika segala syaitan yang ada di
kawasan perkuburan itu berpindah ke kawasan perumahan umat Islam di sebabkan
kekerapan mereka membaca al-Quran di kubur daripada di rumah.
PENJELASAN:
Ini jenaka jenis apa ni Tuan Azwira? Hmm..macam-macam...
Bolehkah situasi di atas berlaku? Mustahil!
Tidak akan berlaku situasi di mana jumlah masa umat
Islam membaca al-Quran di kuburan lebih banyak daripada jumlah masa bacaan di
rumah. Kecualilah alam kes-kes terpencil seperti kampong umat Islam dilanda
banjir dnan hanya kawasan perkuburan saja tempat inggi untuk orang kampong
berteduh. Kala itu mungkinlah bacaan di kuburan lebih banyak daripada di rumah.
Apa sandarannya Azwira mengatakan kuburan sebagai
tempat syaitan (seolah-olah di kuburan terlalu banyak dan di rumah dan
lain-lain tempat kurang)? Antara kerja utama syaitan ialah menggoda hati manusia.
Siapa yang hendak digodanya di kuburan? Mayat?
Syaitan sedia ada di banyak tempat termasuklah di
rumah-rumah, bukan di kuburan sahaja. Tanpa membaca al-Quran di kuburan pun
mereka sudah sedia ada di rumah-rumah kita terutamanya di lubang-lubang tandas.
Bahkan di masjid pun ada. Buktinya, banyak manusia solat tidak khusyuk diganggunya dan banyak
manusia yang was-was ketika mengambil air sembahyang. Dalam salur darah kita
pun sudah jadi ‘highway’ mereka.
Ilmu sikit, pemahaman banyak adalah lebih baik
daripada ilmu banyak, pemahaman sikit.
Wallahualam.
Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’
NOVEMBER 2008
|