Masuk
saja ke sekolah menengah, era rock di Malaysia sedang menuju kemuncaknya.
Seluar sekolah budak-budak ketat mengikut bentuk kaki. Aku sendiri pernah punya
seluar yang ukuran luas kakinya 11 setengah ataupun 12 inci, tapi masih boleh
dipakai dan dibuka tanpa perlu menyalutkan beg plastik di kaki. Seluar yang
kupakai masih kira ‘ok’ kerana pada bahagian atasnya tidaklah seperti sarung
nangka.
Ada
kawan-kawan yang terpaksa menggunakan beg plastik, baru boleh masuk dan keluar.
Watu-waktu keemasan hendak pergi mandi ataupun buang air, punyalah seksa.
Bahkan ada yang lebih kecil lagi daripada itu, mereka tempah seluar yang berzip
di kakinya. Kononnya banggalah kami pada zaman itu jika memakai seluar
sedemikian. Seluar jenis ini kalau poket depan dan belakang dibuat macam poket
seluar ‘jeans’ laaagi bangga ‘giler’.
Ada
satu ketika heboh pula ‘seluar gantung’ ataupun dikenali juga sebagai ‘seluar
senteng’. Potongannya masih ala rock, cuma bahagian kakinya dipotong tinggi
melepasi buku lali. Lagi tinggi lagi ‘glamour’, maklumlah zaman ‘glam rock’.
Kalau boleh biar nampak stoking dan stoking pula kena ada belang pada bahagian
atas. Aku tak pernah ada seluar ini. Sewaktu hendak bergaya biasanya kami yang
tak ada ini akan melipatkan saja kaki seluar ke bahagian dalam kasi nampak
tergantung. : )
Beg
sekolah yang berpadanan dengan mat-mat rock tidak lain ialah beg murah berwarna
hijau. Kainnya macam seluar jeans tebal. Bawa beg ini buku-buku tak boleh
banyak, nanti nampak tak rock. Akibatnya selalulah geng-geng tu kena marah
dengan guru. Aku pernah pakai juga beg ni, tapi aku jenis yang bawa banyak
buku. Pada beg ini biasalah, macam-macam jenama rock dilukis sendiri. Antara
yang popular ialah lambang Van Halen, tulisan Dio, Scorpions, Iron Maiden dan
lain-lain. Nama band-band tempatan jarang sangat. Beberapa tahun selepas itu
barulah jenama Wings, Search, May dan lain-lain mendapat tempat. Tapi ketika
itu era beg sekolah hijau sudah berlalu.
Datang
pula zaman seluar ‘diskang’. Seluar jenis ini pada asalnya dipopularkan oleh
kaum Cina tetapi kemudiannya menakluk minda banyak juga remaja Melayu. Bahagian
kakinya biasa saja dan ada kala sedikit kecil, tapi yang paling menonjol pada
seluar ‘diskang’ ini ialah bahagian tengahnya (pelipat dan lutut). Bahagian ini
dibuat besar menggelembung, lagi besar lagi bergaya, kononnya. Aku tak main le
seluar jenis ni.
Kemudian
seluar ‘bokat’ (Bow cut? Boot cut?). Potongan macam jeans, bahagian paha
sendat, biasanya dijahit sendiri manakala bahagian kakinya besar. Waktu perhimpunan,
guru akan bawa pisau belit ataupun gunting supaya bahagian paha yang sendat
ditetas sendiri oleh pelajar. Selepas zaman sekolah barulah aku ada berminat
pakai seluar ‘bokat’ ini.
Pada
akhir-akhir zaman persekolahan, muncul pula seluar GQ. Seluar ini nampak
menggelebeh sikit tetapi kemas. Identiti utamanya ialah penutup poket belakang
yang ada corak. Di sekolah, penutup ini akan dimasukkan ke dalam poket agar tidak
dikesan guru dan pengawas. Seluar jenis ini pun aku ‘tak main’ la, menjatuhkan
standard rock aku je. : )
Begitulah
antara jenis seluar sekolah yang popular pada zaman aku bersekolah dulu.
Sesiapa yang era mereka lebih kurang era aku tentunya pernah tengok semua jenis
seluar sekolah itu. Sekadar terkenang zaman ‘bodoh-bodoh’ dulu...
|