Perjalanan
ke utara kali ini sebenanya untuk menghadiri kenduri perkahwinan Albazrah dan
adiknya Amni di Jitra. Rancangan kita, kita yang ikhtiar mengaturnya. Rencana Allah,
Dia yang Maha Tahu. Asyik ‘lajak’ punya ‘lajak’ akhirnya dari sehari jadi dua
hari satu malam kami di utara. Memang seronok tapi meletihkan.
Sebenarnya
kami belum pernah sampai ke Bandar Jitra walaupun sudah tiga kali bermalam di
hotel-hotel sekitar Kedah. Melihatkan peta negeri Kedah dan ‘Google Map’ yang
dibekalkan oleh Albazrah di blognya, memang mudah perjalanan ke sana. Oleh
kerana hari masih awal, kami singgah di Alor Setar ‘menjengok-jengok’ Mydin dan
Pekan Rabu. Kami tiba di rumah pengantin pada waktu Zohor. Sekejap saja dapat
lokasinya, lagi pula rumah mereka di tengah bandar Jitra.
Sebelum
ini kami belum pernah bertemu muka dengan Albazrah ataupun adiknya Amni. Namun
kami tertarik dengan nukilan-nukilan Albazrah di blognya yang ringkas tapi meninggalkan
kesan yang mendalam, mungkin terkena tempias Syeikh Bediuzzaman Nursi yang
diminatinya.
Saya
pernah menulis tentang blog Albazrah sebagai tanda penghargaan kepadanya,
ketika itu rasanya Albazrah belum pun kenal nama ‘Alexanderwathern’. Satu hari
saya membuat satu pos di forum Bicarasufi tentang ‘keseimbangan amalan’ dan
Albazrah meninggalkan komen untuk pos tersebut. Saya tidak pernah tahu yang
Albazrah ada berforum di sana. Dari situ saya buatkan link ke artikel
penghargaan yang saya tulis beberapa lama sebelum itu. Rasanya di situ
Bicarasufi.com itulah kali pertama kami berbual di internet melalui tulisan.
Apabila
menerima jemputan daripada Albazrah, saya mendapat ‘alamat’ supaya pergi. Saya
pun berasa hairan kerana agak jauh juga Jitar dari rumah kami (3 jam lebih),
kenal betul pun tidak, saudara-mara pun bukan. Kadang-kadang kenduri kenalan
pun kita tak pergi jika sejauh itu. Jika bukan kerana gerak’ yang diterima, tak
akan kami sengaja pergi ke sana. Setelah berbincang dengan isteri, kami pun
bersetuju untuk pergi.
Di
rumah kenduri, kami dilayan baik oleh Puan Mashitah, salah seorang ibu saudara
Albazrah dan Amni. Dia memperkenalkan saya kepada bapa pengantin, kemudian
membawa kami ke dalam rumah. Sempatlah kami berbual sebentar dengan Albazrah
dan Amni serta mengambil beberapa keping gambar. Memang berseri kedua-dua
adik-beradik ni dengan tema biru dan ungu (kalau tak silap).
Antara
keistimewaan majlis yang berbahagia itu ialah hidangan teh tarik ‘special’.
Kemudian majlis dihiasi dengan nyanyian nasyid (ataupun marhaban) oleh
anak-anak buah pengantin sendiri. Comel-comel budaknya. Ketika pulang kami dibekalkan
pula dengan cenderahati berupa sebuah buku kecil yang berisi puisi-puisi bertemakan
keagamaan nukilan Albazrah sendiri. Juga sebuah aurad harian kami iaitu al-Ma’thurat
dalam bentuk buku kecil dan comel, boleh masuk dalam beg duit lelaki.
Terima
kasih kepada Albazrah, Amni dan pasangan masing-masing iaitu Norkhairun Nizam (Azzarrah)
dan Roslan yang tidak sempat kami temui kerana mereka belum tiba ketika kami
pulang. Satu lagi yang tak kesampaian ialah untuk bersua muka dengan Tuan Abdullah
Tahir Al-Fanshuri, bapa saudara Albazrah dan Amni kerana dia pun datang lewat
sedikit.
Semoga
perkahwinan ini dapat menjana dakwah agama kita ini dengan lebih hebat lagi
daripada sebelumnya. Selamat Pengantin Baru dari kami sekeluarga.
TAMAT.
Ps:
Gambar anak-anak kami dan anak-anak buah Albazrah dan Amni di majlis itu boleh
dilihat di sini.
Ps:
Selepas ini catatan perjalanan kami sepanjang makan angin di utara.
|