Cerita
ini berlaku sudah lama. Suatu hari saya berpeluang memberikan sedikit tazkirah
kepada para pelajar sebuah sekolah. Para pelajarnya berbilang kaum. Tazkirah
saya itu berkisar tentang isu remaja dan idola. Semuanya berjalan sebagaimana
yang saya harap-harapkan hinggalah selepas itu ...
...pengetuanya
naik berucap, habis hancus!
Antara
isi tazkirah saya itu ialah kepentingan remaja memilih idola yang betul. Kebanyakan
remaja tidak kira bangsa dan agama biasanya memilih artis ataupun ahli sukan
sebagai idola mereka. Hal ini bukan sesuatu yang sihat jika orang-orang itu
menjadi idola utama.
Jadi
kepada yang Muslim saya nyatakan kepentingan dan tuntutan menjadikan Nabi
Muhammad sebagai idola yang teratas. Jika belum mampu menghayati Rasulullah
sebagai idola, para remaja sesuai benar mengambil Saidina Ali ataupun Siti
Fatimah kerana mereka antara remaja Islam yang paling hampir dengan Rasulullah,
paling soleh dan paling popular kisah-kisah mereka. Jika tidak mampu juga,
ambillah ustaz ataupun ustazah, ataupun orang-orang soleh yang mereka kenal.
Kepada
yang beragama Buddha ikutlah baik budi Gautama Buddha. Yang beragama Hindu
ambillah moral-moral Krishna manakala yang Kristian ambillah Jesus Christ. Yang
paling penting, idola kita tidak boleh lari daripada agama.
Tamat
tazkirah, saya pun turun pentas. Tidak berapa lama kemudian naiklah pengetua
sekolah.
Naik-naik
saja terus dibantainya supaya para pelajar menjadikan ibu bapa sebagai idola
utama kerana dia sendiri pun menjadikan ibu bapanya sebagai idola utama! Tidak
disentuhnya pun keutamaan menjadikan Rasulullah dan orang-orang soleh sebagai
idola. Tentulah terpadam usaha saya tadi untuk mengajak para pelajar
terutamanya yang muslim menjadikan Rasulullah sebagai idola utama.
Saya
biasa benar dengan persekitaran pelajar muslim di situ. Cara hidup ibu bapa
mereka juga umumnya saya sedia maklum. Yang tidak menutup aurat sebagaimana
sepatutnya banyak. Yang tidak cukup waktu sembahyangnya banyak. Yang memang
tidak bersembahyang pun ada. Yang merokok banyak. Yang minum arak pun ada. Yang
memenuhi hidup sehariannya dengan hiburan berlambak. Yang kurang mementingkan
ilmu pengetahuan banyak. Yang jenis melepak banyak. Yang jenis mengumpat banyak.
Kita
cubalah bayangkan keadaannya jika benarlah para pelajar ini menjadikan ibu bapa
mereka idola utama. Saya tidak faham bentuk pemikiran pengetua sekolah itu, ke
mana hendak dihalakannya para pelajar terutamanya yang muslim. Mungkinlah ibu
bapa si pengetua memang hebat lagi soleh, tapi takkanlah tak sedia maklum yang
banyak ibu bapa masakini tidak seperti ibu bapanya.
Wallahualam.
‘BerTuhankan
Allah, Bersyariatkan Syariat Muhammad saw’
Abu
Zulfiqar ‘Alexanderwathern’
5
DIS 2008 / 7 Zulhijjah 1429
|